Monday, March 10, 2008

Satu Pengajaran Dari Satu Kekalahan

Peperangan Hunain ini banyak memberi pengajaran dan peringatan kepada seluruh umat Islam. Kita dapat melihat bagaimana pentingnya keikhlasan dan keyakinan terhadap pertolongan Allah bagi mereka yang bersungguh-sungguh dalam meninggikan kalimah Allah. Jumlah yang ramai atau pun majoriti tidak menjamin kemenangan dan juga pengekalan kuasa jika kita meninggalkan Islam.


Perang Hunain - Satu Pengajaran dari Satu Kekalahan

Penaklukan dan pembukaan Mekah oleh umat islam telah mengundang kepada ketidaksenangan kebanyakan kaum musyirikin di persekitaran Mekah terutama daripada puak Hawazin dan Thaqif. Mereka ini antara golongan yang terkejut, malah kebingungan dengan kejayaan umat islam membuka kota Mekah namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa tetapi mereka juga tidak dapat menerima hakikat ini.

Dengan itu, mereka merancang untuk membuat serangan ke atas umat islam. Kaum musyrikin yang telah berpakat ini membawa segala kelengkapan perang mereka termasuk harta dan keluarga mereka untuk turut serta di dalam perang ini dan mereka berkumpul di satu kawasan bernama Autas yang berhampiran Lembah Hunain. Dan mereka diketuai oleh Malik bin Auf.

Bagi mengelakkan pertambahan pihak musyrikin yang mungkin akan menyertai puak Hawazin dan Thaqif ini maka Rasulullah s.a.w membuat keputusan untuk menyerang kaum musyrikin ini. pada 6 Syawal tahun 8 Hijrah bersama-sama 12,000 tentera muslimin, Rasulullah meninggalkan kota Mekah menuju ke Lembah Hunain. Tentera muslimin terdiri daripada 10,000 umat islam yang membuka kota Mekah dan 2,000 lagi adalah mereka yang baru sahaja memeluk islam setelah pembukaan kota Mekah.

Mendengarkan berita daripada agen perisikan tentera musyrikin yang Rasulullah telah keluar menuju ke Lembah Hunain dan akan menuju ke markas tentera puak Hawazin dan Thaqif, Malik bin Auf mula menyusun strategi untuk mengalahkan tentera islam secara total. Tenteranya ditempatkan di sepanjang pintu masuk Lembah Hunain dengan askar-askarnya diletakkan di setiap lorong, setiap ruang dan setiap lubang. Mereka ini diarahkan untuk menyerang hendap tentera islam serta merta apabila tentera islam mula memasuki Lembah Hunain.

Dengan tentera islam yang terdiri daripada bilangan yang ramai, ada di antara mereka mengatakan: “Di hari ini kami tidak akan terkalahkan”

Kata-kata ini telah sedikit sebanyak menarik perhatian Rasulullah bersama-sama dengan permintaan seorang tentera islam agar disediakan sepohon kayu untuk menjadi tempat meletakkan barang-barang perang yang menjadi kebiasaan bagi kaum arab dalam perang yang kaum musyrikin turut memiliki pohon kayu seperti itu pada waktu itu.

Pada pagi 11 Syawal pertempuran antara tentera islam dan tentera musyrikin berlaku.

Khalid Al-Walid mengetuai batalion yang mengetuai batalion lain memasuki Lembah Hunain. Sebaik sahaja mereka memasuki Lembah Hunain, tanpa disangka-sangka, mereka dihujani dengan bilahan anak panah daripada pelbagai arah dan disertai dengan serangan oleh tentera musyrikin. Serangan yang tiba-tiba ini telah menyebabkan tentera islam kehilangan punca dan dalam kebingungan dan haruk piruk, mereka telah berundur ke belakang.

Rasulullah ketika itu berada di batalion belakang dengan para sahabat lain kemudiannya memanggil tentera islam untuk tenang dan kembali ke dalam barisan. Terdapat tentera islam yang terus melarikan diri daripada medan perang kerana serangan hendap yang tidak disangka-sangka daripada pihak musyrikin sehinggakan Abu Sufyan mengatakan: “mereka ini tidak akan berhenti kecuali tentera islam telah berundur ke Laut Merah”.

Melihat keadaan yang tidak terkawal untuk beberapa ketika, akhirnya Rasulullah tampil ke barisan hadapan tentera islam dan melaungkan, "Allahhu Akbar!!"

Laungan daripada Rasulullah ini telah mendapat sahutan daripada tentera islam dan mereka kembali berkumpul di sekeliling Rasulullah dan menyusun barisan. Kemudian mereka mara untuk menyerang tentara musyrikin. Maka berlaku pertempuran antara tentera islam dan tentera kafir.

Rasulullah kemudiannya mengambil segenggam pasir dan ditiupkan kepada pihak musuh dengan doa agar diberi bantuan oleh Allah dalam memerangi pihak kufar. Pasir ini terbang kepada wajah-wajah orang kafir dan dinamik peperangan semakin berubah dengan orang-orang kafir semakin berundur dan lebih banyak kematian disaksikan pada pihak kafir. Dan kemenangan perang ini menjadi milik tentera Islam.

Pada peperangan inilah Allah menurunkan ayat:

” Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu kamu menjadi bongkak kerana banyaknya jumlah kamu.maka jumlah yang banyak tidak memberi faedah kepada kamu sedikit pun dan bumi yangluas terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tiada melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir dan demikian penbalasan kepada orang-orang kafir “. (al-Taubah: 25 - 26)

Di dalam perang Hunain ini juga terkait suatu kisah yang amat menyentuh perasaan, menggamit hati para pencinta Rasulullah saw.

Ketika berlakunya upacara membahagikan ghanimah (harta rampasan peperangan), Rasulullah saw telah berkenan untuk menyerahkan ghanimah kepada orang Quraisy yang baru memeluk Islam.

Tindakan ini telah menyebabkan kaum Ansar kurang senang dan ada antara mereka mengatakan; "semoga Allah mengampuni Rasul-Nya, dia memberi Quraisy dan membiarkan kita padahal pedang-pedang kita masih meneteskan darah mereka”

Rasulullah saw mendengar berita tersebut dan baginda mengumpul kaum Ansar dan bersabda;

“ Hai kaum Ansar, aku telah mendengar perkataan kamu! Bukankah ketika aku datang kamu masih dalam keadaan sesat kemudian Allah memberikan hidayah kepada kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu saling bermusuhan kemudian Allah menyatukan hati kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu masih hidup menderita kemudian Allah mencukupkan kamu dengan perantaraan aku?”

Setiap kali Rasulullah saw bertanya, mereka menjawab,” Benar! Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih pemurah dan utama”.

Selanjutnya Rasulullah saw bertanya,: "Hai kaum Ansar, mengapa kamu tidak menjawab?”

Mereka berkata, ” Apa yang hendak kami katakan wahai Rasulullah? Dan bagaimana kami harus menjawab? Kemuliaan bagi Allah dan RasulNya”.

Rasulullah saw melanjutkan. ” Demi Allah, jika kamu mahu, tentu kamu mengatakan yang sebenarnya; “ Anda datang kepada kami sebagai orang yang didustakan kemudian kami benarkan. Anda datang sebagai orang yang dihinakan kemudian kami bela. Anda datang sebagai sebagai seorang yang menderita kemudian kami santuni”

Kaum Ansar menyambut dengan hiba; ” Kemuliaan itu bagi Allah dan RasulNya!”

Rasulullah saw meneruskan, ” Hai kaum Ansar, apakah kalian jengkel kerana tidak menerima sejumput sampah dunia yang tiada nilainya? Dengan “sampah” itu aku hendak menjinakkan suatu kaum yang baru sahaja memeluk Islam sedangkan kamu semua telah lama Islam. Hai kaum Ansar, apakah kamu tidak puas melihat orang membawa pulang kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah saw? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang adalah lebih baik dari apa yang mereka bawa. Demi Allah yang nyawa Muhammad ditanganNya, kalau bukan kerana hijrah ini nescaya aku menjadi salah seorang Ansar. Seandainya orang lain berjalan di lereng gunung dan kaum Ansar juga berjalan di lereng gunung yang lain, aku pasti turut berjalan di lereng gunung ditempuhi kaum Ansar. Sesungguhnya kamu akan menghadapi diskriminasi sepeninggalanku maka bersabarlah hingga kalian berjumpa denganku di telaga (syurga). Ya Allah, limpahkanlah rahmat-Mu kepada kaum Ansar, kepada anak-anak kaum Ansar, kepada cucu kaum Ansar”.

Mendengar ucapan Nabi saw itu, kaum Ansar menangis hingga janggut mereka basah kerana air mata. Mereka kemudian menjawab "Kami rela mendapatkan Allah dan RasulNya sebagai pembahagian dan jatah kami”.

Dalam medan pertempuran dalam kita menghadapi musuh, kita memerlukan persiapan dari pelbagai segi: bilangan yang cukup, keperluan yang lengkap dan kesediaan fizikal yang mantap.

Namun jangan kita lupa akan persiapan dasar yang paling utama iaitu ketaqwaan dan keimanan. Pada luarannya, tentera islam telah memenangi peperangan fizikal namun, kekalahan dalam lebih memainkan peranan.

Dalam peperangan Hunain inilah kita dapat lihat akan kesilapan yang telah dilakukan oleh para sahabat dalam perang kerana merasa yakin dengan bilangan mereka dan merasa takbur dengan kekuatan mereka. Ini ditambah lagi dengan kejayaan umat islam dalam menakluk dan membuka kota mekah daripada tangan musyrikin.

Perang Hunain ini adalah satu bentuk tarbiyah yang diberikan oleh Allah. Kerana sayangnya Allah kepada hambaNya, maka diberikan kekalahan pada peringkat awal dalam peperangan ini. Allah menjadikan bumi yang kelihatan luas ini sempit pada pandangan umat islam kerana sifat jahiliyah yang tersorok dalam hati mereka.

Imam Ibn al-Qayyim menyatakan bahawa Allah memberikan kekalahan supaya mereka (tentera islam) merasa akan kepahitan kekalahan kemudian barulah diberikan kemenangan supaya kepala yang ditegakkan kerana kemenangan menakluk Mekah dapat ditundukkan supaya malu di hadapanNya.

Agar mereka tidak dapat mengatakan: “kemenangan ini kerana bilangan kami”

Maka jangan kita abaikan bekalan paling utama dalam perjuangan kita iaitu tarbiyah ketuhanan. Kerana ini adalah pendorong yang dijanjikan jaminan kejayaan oleh Allah sebagaiman firmannya:

“sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan” (An-Nahl:128)

“Katakanlah: Semuanya (datang) adalah dari sisi Allah” (An-Nisaa:78)

Kita berusaha dalam menyediakan keperluan lain seperti fizikal, senjata dan tenaga manusia. Namun sumber kekuatan yang paling utama adalah iman dan taqwa kerana itulah yang kekal di sisiNya. Segala ketentuan dan keputusan akan terpulang padaNya untuk memberikan kepada siapa yang dikehendakiNya. Persiapan harta dan fizikal tidak kekal, motivasi yang datang dari sumber yang tidak kekal juga tidak kekal. Harta dunia akan hilang, senjata akan patah namun iman yang bersinar akan terus bersinar dan datang darinya kekuatan yang memberi kemenangan dalam perjuangan Rasulullah beserta para sahabat.

Kerana itu Imam Hassan al-Banna memastikan keimanan sentiasa menjadi tulang belakang dalam perjuangan Ikhwan Muslimin yang dapat membentuk jiwa dan roh yang hidup dengan sinar islam. Kerana dalam perjuangan yang panjang dan jauh pasti akan hanya mendatangkan keletihan bagi jiwa-jiwa yang tidur dan lemah, kosong daripada nilai keimanan. Namun diyakini, jiwa yang hidup dan tersinar darinya pancaran islam yang tidak putus pasti akan dapat mendatangkan kekuatan yang akan memastikan setiap ikhwah itu akan terus berada di dalam jalan juang yang panjang dan jauh ini.

Juga pada kisah yang penuh emosi dan kesedihan Nabi kerana kaum Ansar tidak berpuas hati kepada pembahagian ghanimah, dapat dipelajari betapa hikmahnya tindakan Nabi saw. Juga betapa sayangnya Nabi saw kepada sahabat-sahabatnya dari kaum Ansar. Kaum Ansar yang terdiri dari sahabat-sahabat agung juga terasa hati dengan tindakan Nabi. Namun mereka menginsafi kesalahan mereka, mereka menangis teresak-esak mengakui kesalahan mereka sehingga air mata membasahi wajah dan janggut mereka.

Alangkah terharunya kita membawa kisah yang hebat ini, dari Nabi kita dan para sahabat. Hendaklah ia dijadikan iktibar pada kita selaku duah yang menjalankan dakwah Allah di muka bumi.

Semoga selawat tercurahkan kepadamu wahai Rasulullah, juga kepada para sahabatmu yang mulia dari kaum Anshar dan Muhajirin. Semoga Allah berkenan menghimpun kami di bawah panjimu yang mulia dan menjadikan kami beserta orang-orang yang akan menemuimu di telaga pada hari kiamat.

Wallahua’lam

Bahagian Kedua:-

Tulisan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang bertajuk “Wahai Pemimpin! Kemewahan Dirimu Bukanlah Kehebatanmu” benar-benar terkena pada batang hidung pemimpin UMNO.

Tulisan ini adalah satu tamparan yang hebat terhadap sikap pemimpin UMNO yang sering menjadikan kedudukan mereka dalam UMNO dan Kerajaan sebagai peluang untuk menambahkan harta walaupun dengan cara ‘mencuri’ harta negara. Sikap ini jauh sekali dengan apa yang ditunjukkan oleh pemimpin Islam yang sejati iaitu Khalifah Umar Abd Aziz.

Kehidupan Khalifah Umar begitu jauh berbeza dengan gaya hidup pemimpin UMNO. Baju Khalifah Umar jauh lebih murah jika dibandingkan dengan jam tangan pemimpin UMNO. Makanan Khalifah Umar Abd Aziz jauh lebih sederhana berbanding dengan pemimpin UMNO yang sering makan di Hotel 5 bintang yang mewah. Jumlah pembantu rumah Khalifah Umar juga tidak seramai pembantu rumah pemimpin UMNO.

Jika dibaca riwayat Khalifah agung ini, beliau tidak memiliki begitu banyak rumah sebagaimana yang dimiliki oleh pemimpin UMNO. Hari ini pemimpin UMNO berebut-rebut membina rumah sebesar-besar Istana. Bukan satu tapi lebih dari itu.

Selain itu, semua bil dan perbelanjaan mereka termasuklah untuk urusan peribadi dibayar menggunakan duit negara. Ini berbeza dengan khalifah Umar yang mematikan pelita milik negara bila anaknya ingin bicara soal keluarga dengannya.

Saya terbaca dialog yang menarik antara khalifah yang sangat adil iaitu Umar bin ‘Abdul Aziz dan penasihatnya yang jujur Rajak bin Haiwah. Kata Rajak bin Haiwah: Ketika ‘Umar bin ‘Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepadaku: “Wahai Rajak! pergi belikan untukku sehelai baju”.

Aku pun belikan untuknya sehelai baju yang bagus, harganya lima ratus dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya murah”.

Selepas beberapa tahun beliau menjadi khalifah. Suatu hari beliau berkata kepadaku: “Belikan untukku sehelai baju”. Maka aku membeli untuknya sehelai baju yang murah lagi amat sederhana, harganya hanya lima dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya mahal”.

Aku kehairanan, bagaimana mungkin baju yang aku beli untuknya di Madinah beberapa tahun lalu dengan harga lima ratus dirham dianggap murah dan baju yang aku beli sekarang dengan harga hanya lima dirham dianggap mahal.

Perasaanku tersentuh dengan perkataan beliau dan aku pun menangis. ‘Umar bin Abdul Aziz bertanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rajak?. Kataku: “Perkataanmu wahai Amirul Mukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju yang lepas yang berharga lima ratus dirham murah, dan baju sekarang yang berharga lima dirham mahal?.

Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz: “Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya.

Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, alu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya”. (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).

Demikianlah jiwa seorang pemimpin yang mencatatkan sejarah keadilan kepimpinannya dengan tinta emas. Dia hanya memerintah selama dua tahun, tetapi dia mengukir namanya dengan penuh keindahan di persada sejarah yang tidak kunjung padam.

Hubungan jiwanya dengan habuan kekal yang diharapkan di sisi Allah pada hari akhirat kelak telah menjadikan kepimpinannya penuh dengan keadilan dan rahmah Allah yang mencurah-curah.

Sekalipun pakaiannya hanya dari kain murahan, tetapi keadilannya tidak dapat dibeli dengan apa-apa harga pun. Sejarah tidak pernah mengenangkan kemewahan harga baju atau kediaman seorang pemerintah dengan kenangan indah. Bahkan dalam sejarah, sikap suka bermewah-mewah pemerintah menggunakan harta rakyat telah banyak menghasilkan mimpi ngeri dan babak hitam bagi kehidupan rakyat jelata. Namun sejarah indah hanya akan mengingati keadilan dan amanahnya seorang penguasa, sekalipun bajunya buruk.

Lihatlah tampungan yang ada di baju Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a., namun jiwa rakyatnya tidak pernah berlubang seperti bajunya. Amanah dan keadilan meliputi pemerintahannya. Entah berapa ramai pemimpin yang baju mereka megah dan mewah, namun jiwa dan perasaan rakyat mereka sentiasa terkoyak dan carik.

Kesilapan besarlah seorang pemimpin jika merasakan dia dihormati kerana gaya mewahnya yang menjulingkan mata rakyat. Dia lupa pemimpin dihormati kerana jasa, prihatin, amanah dan keadilan pemerintahannya. Bukan kerana kenderaannya yang mewah, atau rumahnya yang megah, atau paip dan curutnya yang panjang, atau isterinya yang berhias permata berlian atau cermin matanya yang pekat hitam sehingga dia buta penderitaan rakyatnya. Tidak! Demi sesungguhnya tidak.

Itu semua hanya menimbulkan curiga, prasangka dan kedengkian perasaan yang memburukkan kasih-sayang antara orang bawahan dan atasan.

Saya tidak pernah menyeru agar pemimpin Dunia Islam hidup dalam kemiskinan, atau kelaparan, atau memakai pakaian yang buruk dan tinggal di rumah yang nak roboh, atau berkenderaan yang cabuk. Tidak, bukan demikian. Mungkin gaya yang hebat juga diperlukan untuk politik zaman kini yang terpaksa menghadapi persaingan musuh-musuh yang berbagai. Mereka boleh bermewahan jika itu adalah harta mereka yang halal, bukan rasuah atau salahguna kuasa.

Mereka boleh memakai dan memiliki apa yang mereka mahu, jika itu semua datang dari sumber yang Allah redha untuk mereka. Saya pun tahu, ada pemimpin-pemimpin yang sememang berharta hasil dari usahanya sendiri. Bahkan kekayaan sesetengah pemimpin melimpah untuk rakyatnya dengan keikhlasan dan kasih-sayang.Perlis barangkali antara contoh yang baik dalam hal ini.

Namun di sesetengah negara dan negeri, ke’ranggi’an pemimpin yang bergaya dengan hartanya menimbulkan kejengkelan dalam jiwa rakyat yang melihat. Sehingga seakan perlambangan seorang pemimpin itu, bukan kerena kewibawaannya, atau adab dan karismanya, atau keadilannya, sebaliknya adalah harta dan kekayaannya yang ditunjuk-tunjukkan kepada orang ramai.

Rumah pemimpin dikenali bukan kerana dipenuhi rakyat yang mengadu hal derita mereka, tetapi kerana pagarnya yang besar, dan kemewahan luar dan dalamnya. Kereta pemimpin dikenali bukan kerana kerap sampai ke tempat rakyat, tetapi kerana luar biasa harganya. Isteri pemimpin dikenali bukan kerana adab dan sopannya terhadap rakyat, tetapi kerana gaya ranggi dan hiasan diri yang mahal-mahal.

Maka sesetengah pemimpin merasakan dirinya berada pada kasta yang tinggi dan rakyat pula pada kasta bawahan. Maka wakil rakyat ada yang bertukar menjadi ‘tokeh rakyat’. Jika hal ini berlaku, politik kedengkian pun akan subur dan terus merebak lalu umat ini terus bergolak.
Saya terbaca dalam Musannaf Abi Syaibah riwayat yang menceritakan apabila dibawa kepada Saidina ‘Umar harta rampasan Maharaja Kisra Parsi yang begitu banyak dan menakjubkan, maka beliau pun menangis.

Lalu ditanya kepadanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Amirul Mukminin, padahal hari ini adalah hari kesyukuran, kegembiraan dan keseronokan”.

Jawab ‘Umar: “Tidak ada kaum yang banyak pada mereka benda ini (harta) melainkan Allah campakkan di antara mereka permusuhan dan kebencian” (8/147). Islam bukanlah anti harta, tetapi Islam memusuhi penyalahgunaan harta dan kemewahan yang mengheret kemusnahan. Masyarakat Islam perlu kaya, tetapi kekayaan yang membawa kekuatan kepada umat, bukan hanya untuk keborosan individu. Jika ramai yang kaya tetapi tidak berbakti kepada umat, untuk apa kita berbangga dengan kekayaan mereka?.

Jika pemimpin menjadikan harta dan gaya mewah teras kekuatannya, bukan keadilan dan kewibawaannya, maka insan-insan munafik dan pelahap harta pun akan mengelilinginya. Dia dikelilingi kerana habuan yang diharapkan. Dia dipuji kerana harta yang boleh diberi. Dia akan sukar menemui insan jujur yang sudi menegur tanpa minta dibalas dan menasihati kerena ikhlas.

Maka kesilapannya tidak dibetulkan, kesalahannya tidak diingatkan. Lalu dia tenggelam dalam pujian dusta dan khianat, kerana setiap yang ada di kelilingnya tidak pernah berfikir tentang nasib pemimpin mereka di akhirat nanti, sebaliknya hanya berfikir tentang untung mereka di dunia. Jika ada tokoh berlebel agama di sekitarnya pun, tidak akan berfungsi jika harta yang dicarinya. Akhirnya, ulama hanya mainan orang politik, bukan orang politik dipandu oleh ulama.

Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 66-68: (maksudnya) Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”.

Justeru itu dalam hadis baginda menyebut: “Sesungguhnya ALLAH meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukanNya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali ALLAH kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang ALLAH jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (Riwayat Malik dalam al-Muwatta`).

Hari ini, banyak sukatan dan ukuran telah berubah. Ramai manusia yang tidak memiliki idealisma atau karisma kepimpinan muncul menjadi pemimpin hanya kerana hartanya, atau kem politiknya yang telah berjaya, lalu dia pun dibakulkan sekali. Apabila seseorang naik dalam politik kerana hasil umpan hartanya semata, tentu dia inginkan pulangan modalnya.

Maka rasuah dan politik wang akan berluas-luasa. Jika dia naik dalam politik kerana ketajaman idealisma dan karismanya, maka sudah pasti dia ingin membuktikan kemampuan pemikiran yang bernas itu untuk dimanfaatkan masyarakat. Maka rakyat mendapat pulangan faedah yang besar dari pemimpin yang berwibawa dan berkarisma, tetapi akan terpaksa membayar harga yang tinggi terhadap pemimpin yang diangkat kerena umpan hartanya.

Maka akhirnya nanti, golongan Ruwaibidah akan menguasai masyarakat. Al-Ruwaibidoh adalah satu istilah yang diguna pakai oleh Nabi s.a.w. untuk menggambarkan satu golongan yang akan muncul menjelang kiamat. Mereka adalah kelompok yang tidak berkualiti tetapi ingin berbicara persoalan besar.

Sabda baginda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh.

Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.

Maka menjadi tanggungjawab rakyat dan kepimpinan negara memastikan setiap tokoh yang akan dilantik adalah kerana kewibawaannya. Karisma atau kewibawaan itu dirujuk kepada dua persoalan asas; pertama; persoalan pegangannya kepada agama secara menepati al-Quran dan Sunah.

Ini kerana kemuliaan umat ini mempunyai kaitan yang tidak boleh dipisah dengan penghayatan seseorang terhadap ajaran Allah dan RasulNya. Kedua; kemampuannya dalam memegang amanah kepimpinan dalam ertikata mampu memimpin umat ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.

Bukan semestinya lebai atau ustaz, tetapi iltizam dan keupayaan. Bukan kemewahan hartanya, atau lebar serbannya, tetapi kewibawaannya. Firman Allah: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Amatlah dukacita bagi sebuah masyarakat yang apabila disebut perkataan pemimpin politik lalu terus terbayang dalam pemikiran kebanyakan orang tentang limpahan hartanya dan gaya mewahnya, bukan ketajaman mindanya atau keprihatinannya kepada rakyat.